KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus menuntut penambahan kerusi Parlimen dan formula bagi Geran Khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, keutamaan utama ketika ini ialah mencadang penambahan kerusi Parlimen terbabit di Dewan Rakyat.
Di samping itu mempercepat perbincangan mengenai formula Geran Khas terbabit di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara ini penting bagi memastikan agihan kuasa dan sumber yang lebih adil, selaras dengan semangat dan niat asal pembentukan Malaysia menerusi MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS- PBB Katibas, Lidam Assan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Sharifah Hasidah menegaskan, bahawa isu-isu ini telah dibangkitkan secara konsisten oleh Kerajaan Sarawak menerusi pelbagai platform rasmi dan juga rundingan.
Katanya, ini termasuk Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 serta jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan khusus bagi tujuan tersebut.
