SKAS: Sarawak peruntuk RM464.5 juta, 758,483 penerima terima manfaat

KUCHING: Pelaksanaan bantuan tunai secara digital menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila lebih 85 peratus penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) menerima bantuan melalui platform e-dompet S Pay Global.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penyaluran bantuan secara digital ini bukan sahaja mempercepatkan proses pengagihan, malah selari misi kerajaan untuk memperkukuh sistem penyampaian berasaskan teknologi di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030.

Sehingga 13 Mei lalu, seramai 758,483 individu daripada keseluruhan 886,288 penerima layak telah menerima manfaat SKAS, katanya.

“Daripada jumlah itu, penerima bagi Kategori Isi Rumah merekodkan kadar tertinggi iaitu 94 peratus atau 387,260 orang daripada keseluruhan 410,529 penerima,” katanya menjawab soalan ADUN GPS-Tellian, Royston Valentine pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Bagi kategori bujang pula katanya, 287,058 orang (80 peratus) daripada 361,295 penerima menerima bantuan, manakala warga emas mencatatkan kadar agihan sebanyak 74 peratus atau 84,165 orang daripada 114,464 penerima.

Uggah menjelaskan, jumlah keseluruhan implikasi kewangan bagi program SKAS mencecah RM464.5 juta, meliputi RM328.4 juta bagi Kategori Isi Rumah yang menerima RM800 setiap seorang, RM90.3 juta untuk Kategori Bujang (RM250 seorang) dan RM45.8 juta untuk Kategori Warga Emas (RM450 seorang).

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus membantu penerima yang masih belum mengaktifkan akaun S Pay Global agar tiada yang tercicir daripada menerima bantuan tersebut.

“Bantuan teknikal boleh diperoleh menerusi emel, talian khidmat pelanggan S Pay Global serta di Pusat Servis Sarawak, Pejabat Daerah dan Pusat Khidmat ADUN,” ujarnya.