KUCHING: PETROSNiaga, entiti perniagaan berlesen untuk gas LPG bersubsidi telah melabur lebih RM50 juta untuk mengukuhkan rangkaian bekalannya, menaik taraf kapasiti penyimpanan, menyuntik silinder gantian dan meningkatkan pengurusan logistik.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ini bagi memastikan, antara lain, kos sifar untuk pertukaran silinder oleh pelanggan di seluruh Sarawak.
“Tiada penyerapan kos oleh Kerajaan Sarawak untuk silinder gas LPG bersubsidi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Jelas beliau, PETROSNiaga telah pun menyediakan rangkaian pembekalan pengedaran 65 pengedar dan 280 pengedar kecil di seluruh Sarawak dan ini termasuk pengedar MYGAZ, pengedar kecil dan peruncit yang telah beralih kepada rangkaian pengedaran PETROSNiaga.
Menurutnya, sejak 1 Disember lalu, pertukaran untuk silinder merah atau hijau PETROS berjalan lancar di kebanyakan kawasan.
Katanya, kira-kira 165,000 silinder kuning di seluruh negeri telah ditukar dalam masa tiga minggu.
Ini mewakili lebih 50 peratus daripada pertukaran yang dijangkakan, melepasi tempoh tiga bulan yang disasarkan untuk pertukaran tersebut.
“Pengguna digesa tidak panik kerana tiada had masa untuk pertukaran silinder dan pelanggan dinasihat menukar apabila silinder mereka kosong.
“Tiada caj tambahan dikenakan kepada pelanggan untuk menukar daripada kuning kepada silinder LPG Bersubsidi PETROS.
“LPG bersubsidi untuk isi rumah adalah barangan terkawal dengan harganya ditetapkan pada RM26.60 untuk kutipan sendiri di mana-mana rangkaian PETROSNiaga peniaga di seluruh Sarawak,” jelas Julaihi.
Di bawah Ordinan Pengagihan Gas, tiada individu atau perniagaan boleh mengedar atau menjalankan sebarang aktiviti berkaitan LPG, termasuk penjualan LPG di Sarawak tanpa lesen sah yang dikeluarkan di bawah Ordinan.
Pelanggan digesa untuk menghubungi Khidmat Pelanggan PETROSNiaga di 1300-88-2122 jika mana-mana peniaga, sub-peniaga atau peruncit mengenakan bayaran tambahan atau enggan menerima pertukaran PETROS silinder LPG.
MUT juga merayu kerjasama semua pihak untuk mengelak daripada berkongsi atau bertindak balas terhadap maklumat palsu dan tidak disahkan yang menyebabkan pembelian panik, dan bekerjasama rapat dengan PETROSNiaga dan pengedarnya untuk menyelesaikan sebarang isu dalam tempoh peralihan ini.
