KUCHING: Kadar jenayah indeks di Sarawak menunjukkan peningkatan sebanyak satu peratus sahaja bagi tempoh Januari sehingga pertengahan Disember 2023.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, manakala untuk penyelesaian kes jenayah dapat diselesaikan pula sebanyak 90 peratus bagi tempoh yang sama.
“Meksipun terkawal, usaha berterusan harus diteruskan secara bersepadu untuk mengawal keadaan sama ada dari segi keselamatan atau ancaman dan juga aktiviti-aktiviti jenayah narkotik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini , hari ini.
Berhubung kunjungan hormat pertamanya kepada Premier Sarawak sejak memegang portfolio sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak baharu, Mancha berkata kunjungan itu turut membincangkan perkara mengenai keperluan meningkatkan aspek keselamatan di kawasan sempadan darat dan laut.
Katanya, antara penekanan yang diberi perhatian ialah perbincangan mengenai isu sempadan dari segi tambah baik aset, logistik merangkumi kawalan keselamatan sempadan, darat dan laut.
“Isu lain yang turut dibincangkan ialah mengenai keadaan semasa jenayah, narkotik, di samping isu keselamatan dan ketenteraman di Sarawak,” katanya.
Untuk rekod, kadar jenayah indeks Sarawak merekodkan sejumlah 3,895 kes secara keseluruhan pada tahun 2022.
