Belia pikul tugas bangunkan negeri

LAWAS: Kemajuan dan kemakmuran negeri ini harus diteruskan oleh kepimpinan belia sekarang sebagai generasi pelapis, kata Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.

Justeru, katanya, belia Sarawak mempunyai tanggungjawab berat dalam memastikan Sarawak terus maju dan makmur pada masa akan datang.

Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas) merupakan satu daripada organisasi yang mampu melahir pemimpin pelapis memaju dan memakmurkan negeri ini, katanya merasmikan larian baton sempena Hari Belia Negara 2025 Zon Borneo di pekan Merapok di sini hari ini.

Beliau turut mengulangi harapan agar seluruh belia di negeri ini terus maju dan membantu membangunkan Sarawak mengikut acuan Saberkas.

Larian Baton merupakan acara tahunan sempena Sambutan Hari Belia Negara pada Jun dan berakhir di Kuala Lumpur.

Pelari dari Sarawak diwakili belia Saberkas Cawangan Bukit Sari, Saberkas Ba’kelalan, belia Merapok dan pelajar SMK Merapok.

Baton kemudiannya diserah Setiausaha Kerja Saberkas Sarawak, Iszuan Haroni yang mewakili Setiausaha Agung Saberkas Sarawak, Safiee Ahmad merangkap ADUN Daro.

Kemuncak larian ialah penyerahan baton Hari Belia Negara daripada Iszuan kepada Presiden Majlis Belia Malaysia Negeri Sabah, Abqaree Fawwas Abekan disaksikan Henry Sum bagi negeri Sarawak dan Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah dan ADUN Sindumin Sabah Datuk Yusuf Yacob untuk dibawa ke Sabah dan akhirnya ke Kuala Lumpur.

Turut hadir Exco Saberkas Sarawak Steve Lius, Awangku Bahar Pengiran Jini, Pengerusi Saberkas Cawangan Bukit Sari Kr Abu Bahrin Reduan dan pemangku Pengerusi Saberkas Cawangan Ba’kelalan Bidin Untong.