Pelbagai aktiviti menarik sempena Pesta Saratok mulai 25 Jun ini

SARATOK: Sejumlah 21 aktiviti bakal memeriahkan penganjuran Pesta Saratok 2025 yang bermula 25 Jun sehingga 13 Julai depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, aktiviti yang menjadi pembuka tirai Pesta Saratok 2025 iaitu Pertandingan Pangkah Gasing Tradisional Saratok bermula pada 25 hingga 29 Jun.

“Ini diikuti Pertandingan Badminton Tertutup Saratok (28-29 Jun) disusuli jualan Pesta Saratok 2025 (4-13 Julai), Pertandingan Slingshot, Pertandingan, Menyumpit dan tarik tali (5 Julai), Pertandingan Memancing, Mountain Bike Challenge, Kejohanan Bola Keranjang Daerah Saratok (6 Julai), Pertandingan Dart, Pertandingan Petanque (6-7 Julai).

“Selain itu, Saratok Kitchen 2025 (10-13 Julai), pertandingan memasak (10 Julai), pertunjukan perahu berhias, Ratu Etnik Pesta Saratok (11 Julai), Kempen Derma Darah, Health Screening Termasuk Pameran Akta 852 dan Kaunter Bayaran Saman Merokok, pameran pembangunan (12-13 Julai), malam kebudyaaan (12 Julai), Pertandingan Bertandak (13 Julai).

“Kemuncak Pesta Saratok iaitu acara lumba perahu Regata Kalaka 2025 akan bermula pada 11 hingga 13 Julai,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pesta Saratok 2025 Bilangan 3 yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohamaad Dino Amid di Pejabat Daerah Saratok semalam.

Mohamad Duri berkata, tapak jualan pesta akan dengan bayaran sewa yang berpatutan dan akan dibuka dalam masa terdekat.

Pesta Saratok 2025 bertemakan ‘Muafakat Membawa Berkat’ dianjurkan Pusat Khidmat DUN N.38 Kalaka dengan kerjasama Pejabat Daerah Saratok dan semua agensi kerajaan mahupun swasta serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kelab serta persatuan.