Pendekatan pembelajaran UiTM ditambah baik, 1,521 graduan bergraduat

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) giat memperkasakan peranan sebagai institusi pendidikan tinggi utama negara dengan melahirkan graduan bumiputera profesional yang mampu bersaing di peringkat global.

Pro-Canselor UiTM, Dato’ Sri Zarinah Anwar berkata, pendekatan pembelajaran di UiTM sentiasa ditambah baik agar selari dengan keperluan industri serta kehendak pasaran pekerjaan semasa.

”Usaha ini terbukti apabila graduan UiTM berjaya merangkul Anugerah Emas dalam International Research and Information Science Expo (iRISE2025)mencerminkan kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-101 UiTMCS di sini, hari ini.

Zarinah turut menekankan kepentingan kerjasama antara institusi dan industri, termasuk melalui program mobiliti akademik bersama universiti antarabangsa serta inisiatif bersama PERKESO Sarawak dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).

Justeru, beliau menyaran para graduan agar bersedia menghadapi cabaran era digital dengan menjadi individu fleksibel, berkemahiran tinggi dan berintegriti, sambil mengamalkan nilai-nilai murni dalam kerjaya masing-masing.

Istiadat konvokesyen berlangsung selama tiga hari mulai 10 hingga 12 Jun 2025 dengan lima sidang menyaksikan seramai 1,521 graduan secara keseluruhannya.

Ia menyaksikan seramai 444 graduan akan dikurniakan ijazah sarjana muda manakala 1,077 graduan akan dikurniakan diploma. Pecahan bilangan graduan pula adalah seramai 307 gaduan untuk sidang pertama, 308, graduan (sidang kedua), 292 graduan (sidang ketiga), 279 graduan (sidang keempat) dan 335 graduan (sidang kelima).

Sesi penganugerahan kali ini agak unik kerana akan disempurnakan oleh dua orang Pro-Canselor iaitu Dato Sri Zarinah akan menyempurnakan istiadat konvokesyen pada Sidang Satu dan Siang Dua manakala sidang selebihnya bakal disempurnakan oleh Pro-Canselor UiTM Datuk Abdul Wahab Aziz.