DARO: Konsep rumahku syurgaku perlu diterjemahkan dalam bentuk pendidikan yang berasaskan kasih sayang dan ilmu di rumah.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, usaha ini agar anak-anak membesar dalam suasana yang menyokong pertumbuhan holistik mereka.
“Didiklah anak-anak dengan ilmu dan kasih sayang, kerana mereka akan menjadi pencorak masa depan keluarga, masyarakat dan negara.
“Saya percaya, dengan sinergi ibu bapa, pendidik dan masyarakat, kita mampu melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak, celik digital dan berjiwa besar,” katanya semasa merasmikan Bengkel Keibubapaan Tabika/Taska KEMAS Daro.
Beliau menegaskan, peranan ibu bapa merupakan elemen terpenting dalam memastikan kejayaan pendidikan awal kanak-kanak, khususnya melalui platform pendidikan seperti Tabika dan Taska KEMAS.
“Saya menyaran lebih ramai ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak ke Tabika dan Taska KEMAS, sebagai langkah awal menyediakan asas pendidikan yang berkualiti dan seimbang,” kata beliau.
Bengkel anjuran KEMAS itu disertai oleh seramai 191 peserta terdiri daripada ibu bapa.
Program tersebut dilihat sebagai platform penting dalam memperkasa ibu bapa sebagai rakan strategik dalam pembangunan awal kanak-kanak, selaras dengan aspirasi pendidikan negara.
