Projek HEB dijangka siap Disember 2029

KAPIT: Kerja-kerja takungan bagi projek Empangan Hidroelektrik Baleh (HEB) dijangka bermula pada 2027 dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, apabila empangan tersebut siap kelak, Sarawak Energy dijangka dapat menjana sehingga 1.2 gigawatt (GW) tenaga elektrik menjelang 2029.

“Walaupun projek ini dijadual siap pada Disember 2029, Sarawak Energy sedang berusaha untuk menyiapkannya tiga bulan lebih awal,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan hari ini.

Dalam lawatan tersebut, Abang Johari turut mencadangkan agar Sarawak Energy melaksanakan pendekatan mampan secara serentak dengan kerja-kerja takungan bagi memastikan pembangunan sosioekonomi kawasan terlibat dapat dilaksana menjelang 2030.

Beliau menggariskan tiga keutamaan utama: pemuliharaan biodiversiti, pembangunan pertanian, serta perlindungan habitat hidupan liar bagi memastikan pembangunan tenaga boleh diperbaharui tidak mengabaikan aspek alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

“Antara inisiatif yang dicadangkan termasuk penanaman semula hutan secara besar-besaran untuk memulihara biodiversiti yang terjejas akibat pembinaan empangan ini.

“Aktiviti pertanian turut dirancang untuk kawasan sekitar sebagai langkah membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat,” jelas beliau.

Premier Sarawak itu turut menekankan pentingnya perlindungan terhadap habitat semula jadi hidupan liar di kawasan terlibat.

“Saya telah mengarahkan Sarawak Energy supaya bekerjasama rapat dengan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Jabatan Hutan Sarawak serta Jabatan Pertanian. Usaha ini juga perlu melibatkan komuniti dan sektor swasta secara menyeluruh,” tegasnya.

Untuk rekod HEB merupakan antara komponen penting dalam pelan strategik Sarawak untuk menjadi peneraju tenaga hijau di rantau ini menjelang 2030.

Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Dato Ibrahim Baki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai, ADUN Pelagus, Wilson Nyambong Ijang, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili.