KUCHING: Negara-negara ASEAN kini sedang membina tunjang kepada pasaran tenaga ASEAN yang lebih mampan, kata Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, sehubungan itu, komitmen politik, kerjasama teknikal dan strategi pelaburan yang lebih bijak perlu untuk merealisasikannya.
“Peraturan, mewujudkan pasaran terbuka selain mengguna pakai inovasi digital untuk menjadikan perdagangan tenaga serantau itu penting untuk merealisasikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam menyambut ketibaan delegasi Pegawai Kanan Tenaga dari kesemua 10 negara anggota ASEAN sempena Mesyuarat (SOME) Ke-43.
Majlis makan malam itu dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Fadillah menjelaskan, Grid Kuasa ASEAN (APG) menjadi pemacu masa depan tenaga serantau yang berdaya tahan.
Katanya, ia bukan sekadar projek infrastruktur tetapi visi sebuah rantau menyaksikan tenaga elektrik mengalir tanpa halangan rentas sempadan yang dikongsi bersama dengan kemakmuran.
Justeru, beliau yakin memorandum persefahaman APG yang dipertingkatkan bersama dokumen Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga 2026–2030 yang bakal dilancar akan mengukuhkan keterhubungan tenaga serantau ASEAN.
“Ia akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di negara anggota ASEAN,” katanya.
