KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited dalam memastikan keberkesanan dan kelangsungan program Inisiatif Baharu Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Timbalan Menteri Pembangunan dan Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, melalui program inisiatif baharu itu, kerajaan terus menyediakan dana untuk kos kerja pengukuran, pengukuhan sumber manusia dan penggunaan teknologi pengukuran terkini.
“Sejak Oktober 2010 sehingga 31 Oktober 2023, seluas kira-kira 1,118,851 hektar (2,764,681 ekar) berjaya diukur secara perimeter,” katanya pada sidang media pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Terdahulu menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, Len Talif berkata, pengukuran lot individu ke atas sebahagian daripada kawasan Sungai Krian dan Sungai Kabo, Saratok seluas 655 hektar (1,619 ekar) melibatkan sebanyak 450 lot telah siap pada Januari 2023 dengan 90 lot telah dikeluarkan dengan surat hak milik tanah.
Baki sebanyak 360 lot dalam proses untuk dikeluarkan dengan surat hak milik tanah, katanya.
Len Talif berkata, pengukuran lot individu bagi pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, sejak tahun 2016 berjaya mengukur sebanyak 77,954 lot individu yang melibatkan kawasan seluas 94,979 hektar sehingga tempoh sama.
Beliau menegaskan, kerajaan menggalakkan penubuhan jawatankuasa tanah dalam kalangan penuntut tanah bagi membantu kerja-kerja persediaan sebelum, semasa dan selepas pengukuran dilaksanakan.
