KOTA SAMARAHAN: Pelaksanaan projek mega di Tanjung Embang termasuk pembinaan lapangan terbang dan pelabuhan baharu bakal menjadi pemangki pertumbuhan ekonomi luar bandar khasnya di Asajaya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek mega ini bakal menjadi game changer dalam mengubah kawasan Tambirat dan Sambir menjadi bandar raya satelit.
“Jika pelan ini diteruskan, kita akan lihat jambatan dibina dari Tanjung Embang ke dua pulau buatan, serta sambungan ke kawasan Tambirat dan Sambir. Ini bakal menjadikan kawasan ini sebagai sebuah bandaraya satelit,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ngiling Tikai Peringkat Daerah Asajaya 2025 di Dewan Kampung Sampun Jugu, Asajaya semalam.
Beliau menggesa penduduk tempatan agar bersedia menghadapi perubahan pesat, terutama dengan kewujudan Lebuh Raya Persisir yang sudahpun memberi kesan langsung kepada lonjakan pembangunan kawasan itu.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, kepelbagaian sambutan perayaan agama dan budaya adalah satu keunikan yang wajib dipelihara oleh rakyat negeri ini.
Hadis sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
