KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof mengumumkan sumbangan berjumlah RM110,000 kepada enam kelab kebajikan wartawan di negeri ini.
Kelab berkenaan ialah Kelab Kebajikan Kakitangan UKAS dan Kelab Belia Azam Bandar Kuching masing-masing menerima RM25,000 manakala Persatuan Wartawan Kuching (KDJA), Persatuan Wartawan Wilayah Sarawak, Persatuan Wartawan Sibu (SJA), Institut Wartawan Rejang (IRJ) masing-masing menerima RM15,000
Beliau mengumumkan sumbangan tersebut di majlis Majlis Makan Malam Persidangan Media Sarawak 2025 Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol serta tetamu kenamaan lain.
Fadillah dalam ucapannya berkata, media bukan penonton dalam negara pembangunan sebaliknya rakan strategik yang penting.
“Wartawan bukan sekadar pencerita. Anda adalah mata menyaksikan kebenaran, telinga yang mendengar degupan jantung negara dan pena yang membentuk pemahaman,” katanya.
Ketika Sarawak menuju negeri berpendapatan tinggi, ekonomi hijau dan maju dari segi teknologi di bawah PCDS 2030 beliau menggesa media agar terus mengetengahkan agenda penting
antaranya inovasi dalam teknologi hijau dan hidrogen.
Sementara itu, Fadillah turut menyampaikan Anugerah Apresiasi Khas Premier Sarawak kepada 11 penerima bagi kategori masing-masing.
