Wartawan kekal relevan lapor isu adil, mendalam

KUCHING: Peranan wartawan akan kekal relevan dan tetap diperlukan walaupun dunia kini dicabar dengan kemajuan teknologi yang pesat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, teknologi seperti ChatGPT dan kecerdasan buatan lain hebat dalam mengolah data dan menghasilkan teks dengan pantas, namun teknologi ini tidak mampu menyampaikan nilai kemanusiaan dan spiritual mendalam dalam laporan.

Katanya, wartawan pula membawa lebih daripada sekadar fakta, mereka menyampaikan cerita dengan jiwa, empati, dan sensitiviti terhadap konteks kemanusiaan yang sukar untuk digantikan oleh mesin.

“Jadi, selagi dunia belum kiamat, selagi itulah wartawan tetap diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam Hari Wartawan Nasional (HAWANA) dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2025, di sini, malam ini.

Abdullah Saidol berkata, wartawan harus menjadi jambatan antara masyarakat dengan melaporkan isu secara adil dan mendalam serta memberikan ruang kepada naratif yang jarang diketengahkan sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat lebih inklusif.

Katanya, masyarakat juga perlukan panduan untuk menentukan apa yang benar dan penting maka disinilah wartawan menjadi penapis maklumat yang sahih dan dipercayai.