Polis tekankan pemahaman teknologi dalam latihan

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menekankan pemahaman terhadap teknologi terkini dalam latihan anggota mereka bagi menghadapi pelbagai bentuk jenayah baharu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Komisioner Polis, Datuk Hamzah Ahmad berkata jenayah baharu ini termasuk jenayah siber, penipuan dalam talian, penyebaran berita palsu, hasutan menerusi media sosial dan pengaruh ekstremisme.

“PDRM kini memberi penekanan bukan sahaja terhadap latihan fizikal malah aspek pembinaan karakter, ketahanan emosi dan pemahaman terhadap teknologi terkini dalam kalangan pelatih dan anggota sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Kepolisan Konstabel Bil. 76 Siri 3/2025 di sini, hari ini.

Di majlis itu, seramai 294 pelatih konstabel polis berjaya menamatkan latihan asas selama enam bulan.