Komposisi anggota baharu DUN Sarawak dikuat kuasa PRN akan datang

KUCHING: Komposisi anggota baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan mula dikuatkuasakan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia selaras dengan semakan semula persempadanan yang dijalan mengikut Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, yang memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyemak kawasan pilihan raya dan bilangan keanggotaan.

“Penambahan kerusi ini mencerminkan pertumbuhan penduduk dan pembangunan pesat di Sarawak, sekali gus menjamin representasi politik yang lebih adil dan seimbang bagi rakyat negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 sempena Mesyuarat Khas di DUN Sarawak hari ini.

Abdul Karim menegaskan, penambahan kerusi akan membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberi tumpuan yang lebih khusus kepada kawasan masing-masing, terutamanya di luar bandar yang menyaksikan peningkatan populasi ketara sejak pilihan raya lalu.

Kali terakhir semakan komposisi kerusi DUN dilakukan pada 2015, apabila jumlah kerusi ditambah daripada 71 kepada 82.