RUU Komposisi Keanggotaan lulus, 31 ADUN bahas

KUCHING: Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini meluluskan Rang Undang-Undang DUN (Komposisi Keanggotaan) 2025 setelah dibahaskan oleh 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.

Daripada 31 ADUN yang membahas RUU itu, 29 dari blok kerajaan manakala dua lagi blok pembangkang.

RUU itu dibentangkan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap ADUN Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Pembentangan RUU itu adalah untuk meningkatkan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99, sejajar dengan keperluan semasa dan perkembangan demografi negeri Sarawak yang kian berubah dan berkembang.

RUU itu turut mencadangkan pemansuhan Ordinan Komposisi Keanggotaan DUN 2014 (Cap. 70) yang sedang berkuat kuasa.

Abdul Karim semasa membentangkan RUU tersebut berkata, penambahan kerusi itu selaras dengan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Negeri Sarawak, yang memperuntukkan bahawa jumlah ahli DUN hendaklah ditentukan oleh undang-undang yang digubal oleh Badan Perundangan Negeri.

Sarawak, katanya, telah mengalami perubahan demografi yang ketara, peluasan kawasan bandar serta peningkatan jumlah pengundi, terutamanya selepas pelaksanaan Undi18 yang menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

“RUU ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan DUN kekal dinamik, responsif dan relevan terhadap keperluan rakyat.

“Perubahan ini perlu untuk mencerminkan suara dan aspirasi seluruh rakyat Sarawak, terutamanya yang tinggal di luar bandar yang jauh dan mencabar dari segi logistik,” katanya.

RUU yang dibentangkan hari ini, katanya, selaras dengan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan semakan semula sempadan pilihan raya selepas tempoh lapan tahun.

“Kali terakhir proses persempadanan semula dilakukan di Sarawak adalah pada 2015.

“Dengan pertambahan populasi dan keperluan komuniti yang sentiasa berubah, adalah wajar untuk menambah bilangan kawasan pilihan raya bagi menjamin penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan kepimpinan yang lebih dekat dengan rakyat,” katanya.