Anugerah Tokoh Wanita diketahui pada Hari Wanita Sarawak 2025 Ogos depan

KUCHING: Seramai 800 orang akan menghadiri sambutan Hari Wanita Sarawak 2025 (HW25) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, pada 2 Ogos depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Awal dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata mereka ialah ahli kabinet, ahli arlimen, ahli DUN, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Timbalan Setiausaha Sarawak, Residen, Datuk Bandar, Ketua Jabatan, Ahli Majlis Wanita Keluarga Sarawak, Rakan Strategik Kementerian dan ahli Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Katanya, sambutan juga melalui pautan aplikasi Zoom dari 45 pejabat daerah seluruh Sarawak bagi disaksikan penjawat awam dan ahli-ahli pertubuhan wanita Sarawak serta turut disiarkan secara langsung melalui platform media sosial Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

“Tema Diversity, Equality, Inclusivity (DEI) telah dipilih pada tahun ini bagi meraikan kesaksamaan pelbagai identiti tanpa mengira perbezaan dari segi latar belakang dan keupayaan fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk HW25 di Wisma Wanita, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal merasmikan sambutan itu.

Turut diadakan ialah penyampaian Anugerah Tokoh Wanita Hari Wanita 2025 iaitu Anugerah Premier Sarawak Kepimpinan Wanita, Keusahawanan Wanita, Penggiat Sosial Wanita, Pencapaian Khas, NGO Cemerlang dan Pemimpin Muda Wanita.