CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) menandatangani perjanjian kerjasama melaksanakan Projek SMART600 di Ibu Pejabat MCMC, di sini, semalam.
Menurut kenyataan media MCMC dan SDEC, perjanjian itu ditandatangani Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman serta disaksikan Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
“Di bawah Projek SMART600 ini, sebanyak 600 menara komunikasi baharu disasarkan akan dibina di Sarawak dalam dua fasa iaitu sebanyak 300 menara untuk setiap fasa,”menurut kenyataan itu.
Menara-menara baharu ini akan menyediakan perkhidmatan mudah alih 4G kepada lebih 1,000 lokasi luar bandar dan dijangka memanfaatkan lebih kurang 180,000 komuniti di Sarawak seperti di Belaga, Marudi, Sungai Belawai, Kapit dan Sungai Encheremin.
Setakat ini, sebanyak 587 menara telah pun siap dibina dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 431 menara telah diaktifkan dengan teknologi canggih Multi-Operator Core Network (MOCN) dan selebihnya akan diaktifkan secara berperingkat.
Selain itu, akses kepada Internet berkelajuan tinggi akan dipertingkatkan bagi menyokong aplikasi seperti kecerdasan buatan, penstriman video, perkhidmatan awam 2 dan Internet of Things(IoT).
“Pengguna juga mempunyai pilihan yang lebih banyak sehingga lima syarikat Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) di bawah kelolaan MCMC, dan perkhidmatan jalur lebar Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) yang dikendalikan oleh Kerajaan Sarawak,” tambahnya.
Kerajaan Sarawak melalui SDEC akan membiayai perbelanjaan modal (CAPEX) untuk pembinaan menara tersebut dan MCMC yang mewakili Kerajaan Persekutuan bersama Pengendali Rangkaian Mudah Alih (iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications) membiayai perbelanjaan operasi (OPEX).
