KUCHING: Sarawak mengorak langkah memperkukuh infrastruktur pemulihan dadah dengan mencadangkan pembinaan dua pusat rawatan baharu di Miri dan Sibu bagi menangani peningkatan kes di zon tengah dan utara negeri ini.
Pengerusi PEMADAM Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketika ini, hanya satu pusat pemulihan kendalian Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) beroperasi di Kuching.
“Lokasi di Miri dicadangkan di bekas tapak Akademi Imigresen Malaysia Timur seluas 34 ekar di Kuala Baram, manakala Sibu, di tapak milik RTM di Blok 10 Seduan. Permohonan rasmi sudah diajukan kepada AADK dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Majlis Pembangunan Sosial Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Sarawak Bilangan 1 Tahun 2025, hari ini.
Abdul Karim menambah, sekiranya lokasi di Miri dipersetujui oleh Jabatan Imigresen, ia boleh dikongsi bersama atau diperuntukkan sepenuhnya sebagai pusat rawatan.
“Langkah ini penting kerana pusat sedia ada di Kuching kini menanggung beban permintaan dari seluruh Sarawak,” katanya.
Dalam mesyuarat itu, turut dicadangkan penubuhan makmal patologi forensik baharu di Miri dan Sibu bagi menyokong proses penyiasatan kes berkaitan dadah.
Abdul Karim menjelaskan, semua sampel dari zon utara dan tengah kini perlu dihantar ke Kuching, menyebabkan kelewatan sehingga lima hari dalam proses pendakwaan.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan dadah sintetik walaupun indeks penyalahgunaan Sarawak masih rendah berbanding negeri lain.
Menurut beliau, seramai 6,151 penagih direkodkan di Sarawak dari Januari hingga Mac 2025, dengan majoriti adalah lelaki.
“Kita minta agensi berkaitan memperketat kawalan terhadap penghantaran barang melalui kurier kerana banyak kes pengedaran kini menggunakan kaedah tersebut. Pemantauan berterusan adalah kunci utama,” tegasnya.
