ASSAR agih dividen 3 sen seunit

KUCHING: Amanah Saham Sarawak (ASSAR) hari ini mengumumkan pengagihan dividen 3 sen seunit membabitkan pembayaran dividen berjumlah RM14.52 juta kepada 57,870 pelabur.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengumumkan dividen itu di sini hari ini berkata, pembayaran dividen itu adalah bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2025.

Dengan pembayaran dividen interim 3 sen seunit pada Januari 2025, beliau berkata, jumlah keseluruhan bagi tahun kewangan berakhir 2025 ialah 6 sen dengan pembayaran berjumlah RM28.76 juta.

Beliau berkata, kejayaan ASSAR mengagihkan dividen sebanyak itu adalah atas pencapaian baiknya yang diurus secara profesional dan penuh berhemah.

“Ini adalah kali ketiga secara berturut-turut ASSAR berjaya mengagihkan dividen yang meyakinkan sejak disusun semula tiga tahun lalu,” katanya.

Abang Johari turut menegaskan, komitmen Kerajaan Sarawak bagi memastikan instrumen pelaburan seperti ASSAR kekal inklusif, lestari dan memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

Bagi tahun kewangan berakhir 2025, tambahnya, ASSAR mencatat pendapatan kasar berjumlah RM38.39 juta hasil daripada faedah pendapatan tetap sebanyak RM16.35 juta (43 peratur), RM13.96 juta (36%) daripada pendapatan modal saham, RM5.15 juta (13%) daripada dividen saham dan RM2.93 juta (8%) daripada instrumen pasaran dan pendapatan modal faedah tetap.

Selepas ditolak perbelanjaan sebanyak RM5.70 juta, pendapatan tetap diperoleh sebanyak RM32.69 juta, katanya dan menambah, RM26.52 juta berjaya diagihkan.

Lebihan sebanyak RM12 juta yang tidak diagihkan akan kekal sebagai risab untuk pengagihan masa depan.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan pejabat bergerak ASSAR berupa sebuah kenderaan untuk kemudahan pelabur di luar bandar.

Hadir sama Pengerusi Yayasan dan Budaya Dayak Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Leonad Linggi Jugah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengerusi Kumpulan ASSAR Holdings, Dato Sri Wahab Haji Dolah.