Pelbagai program menarik meriahkan Pesta Daro 2025

DARO: Sebanyak 26 program meliputi sembilan komponen utama telah disusun atur bagi memeriahkan sambutan Pesta Daro 2025 dijadual berlangsung dari 25 Julai hingga 3 Ogos ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, pesta kali ini amat istimewa kerana buat julung kalinya diadakan selepas siap sepenuhnya Jambatan Muara Lassa yang menjadi pemangkin kepada peningkatan kehadiran pengunjung dari luar daerah.

Jelasnya, sembilan komponen utama program adalah kebudayaan, kesihatan, pendidikan, sukan, sosioekonomi, keagamaan, keusahawanan, gerai komuniti dan hiburan.

“Walaupun Pesta Daro ini telahpun kita laksanakan tidak kurang daripada 10 tahun yang lepas, tetapi pada tahun ini kita menjangka ianya akan menerima kunjungan yang lebih ramai khususnya daripada orang asing daripada luar Daro,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Pesta Daro 2025 di Pejabat Daerah Daro semalam.

Ujarnya, antara acara utama termasuk Karnival STEM peringkat daerah anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Daro yang akan berlangsung pada 28 Julai melibatkan penyertaan 18 buah sekolah terbaik dari seluruh Sarawak.

Majlis perasmian Pesta Daro 2025 akan diadakan pada 26 Julai dan akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Safiee lagi, pesta ini turut menyaksikan pembukaan 190 lot gerai jualan pelbagai kategori bagi merancakkan aktiviti ekonomi tempatan sepanjang 10 hari penganjuran.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan masyarakat setempat untuk hadir memeriahkan Pesta Daro dan menikmati kemudahan baharu melalui penggunaan Jambatan Muara Lassa yang kini menjadi jambatan jalan pesisir terpanjang yang telah siap dibina di negeri ini.