KUCHING: Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat bahagian dan daerah diarah untuk meningkatkan kesiapsiagaan bagi menangani jerebu dan kebakaran terbuka akibat cuaca panas dan kering ketika ini.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, hasil pemantauan menemukan banyak titik panas di beberapa kawasan di seluruh negeri.
“Banyak kawasan panas dikenal pasti di kawasan kita,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Integriti Antarabangsa Borneo (BIIS) 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Tambahnya, tindakan segera serta pemantauan telah dilaksanakan di Mukah setelah menerima laporan daripada Residen Mukah bahawa kawasan tersebut mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap 154.
Selain itu katanya, dron digunakan untuk mengesan asap kebakaran digunakan bagi mengawal kebakaran tanah gambut lebih awal sebelum api merebak ke kawasan yang lebih luas terutamanya di kawasan Kuala Baram di Miri.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pejabat residen dan daerah memantau jika terdapat kampung yang menghadapi masalah kekurangan air.
“Kita akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh dua hari akan datang untuk memantau keadaan, khususnya isu kekurangan air.
“Kadang-kadang ini menjadi isu serius dan kita perlu memastikan jentera kita bersedia menghadapi keadaan ini di lapangan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWKK) akan melihat kepada perkara dengan kerjasama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
Beliau turut menasihatkan penduduk agar tidak melakukan pembakaran terbuka di samping terus mengingatkan agar rakyat menjaga kesihatan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap tidak sihat.
