KUCHING: Sarawak mengambil langkah ke arah ketelusan, keterbukaan dan akauntabiliti melalui pelaksanaan dasar memperkasa badan pengawasan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana salah satu faktor penentu kejayaan sesebuah negara ialah kepercayaan awam dan hanya dapat dibina melalui ketelusan, keterbukaan dan akauntabiliti.
“Salah satu langkah penting yang telah diambil oleh Sarawak ke arah ini adalah melalui pelaksanaan dasar open data serta memperkasa badan pengawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Perasmian Sidang Kemuncak Integriti Antarabangsa Borneo 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Selain itu Abang Johari berkata, Perkhidmatan Awam Sarawak (PANS) mesti berteraskan rakyat dan berpaksikan nilai, yang mana integriti bukan sahaja diamalkan di peringkat tertinggi, tetapi juga di setiap lapisan organisasi.
“Semua pihak tanpa mengira kedudukan harus tertakluk kepada pemantauan bagi meraih kepercayaan dan membuktikan kejelasan,” katanya lagi.
Dalam hal ini katanya, pemimpin khususnya perlu menghayati nilai yang ingin disemai termasuk mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap tindakan dan keputusan.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah.
