KUCHING: Kesihatan mental dalam kalangan belia perlu dijadikan keutamaan dan dimasukkan sebagai agenda arus perdana.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, masalah itu bukan lagi isu sampingan.
Katanya, ini kerana peningkatan kes kemurungan dan tekanan emosi dalam kalangan remaja amat membimbangkan.
Ia selari dengan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang menunjukkan satu daripada lima remaja di Malaysia berisiko mengalami masalah kesihatan mental.
“Ramai belia menderita dalam diam kerana kesukaran mendapatkan bantuan, kos rawatan yang tinggi dan stigma yang masih menebal,” katanya semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Sarawak Mengenai Kesihatan Mental Belia 2025, hari ini.
Disebabkan itu katanya, persidangan itu merupakan medan penting untuk memperkasa belia, memupuk kerjasama rentas sektor dan menjadikan kesihatan mental sebagai isu pembangunan utama negeri.
Abdul Karim turut menekankan keperluan mengintegrasikan isu ini dalam dasar kerajaan, pendidikan, keusahawanan, teknologi, keluarga dan kepimpinan agar pendekatan yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan.
Beliau berharap persidangan itu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan dasar dan program kesihatan mental yang lebih inklusif dan mampan, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).
