TANJUNG MANIS: Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan mendesak dalam memacu pembangunan Sarawak ke arah negeri maju dan berpendapatan tinggi.
Ia ditegaskan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh sambil menambah STEM dan TVET kini semakin diiktiraf sebagai teras penting dalam membina masa depan belia luar bandar.
“STEM dan TVET membina kemahiran teknikal serta membentuk pemikiran kritikal, kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah. Ia semua adalah kemahiran penting dalam pasaran kerja masa kini,” ujarnya.
Len berkata demikian semasa merasmikan program TEGAS Pro-DR Roadshow anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang diadakan di Dewan IKS Tanjung Manis hari ini.
Tambah beliau, pelaksanaan program seperti Pro-DR merupakan langkah strategik bagi merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar sejajar dengan prinsip ‘No One Left Behind’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang yang juga Pengerusi Lembaga Amanah TEGAS itu menambah, program Pro-DR turut memberi fokus kepada pendedahan awal kepada pelajar sekolah rendah menerusi pembelajaran interaktif dan projek berasaskan teknologi.
Antara inisiatif yang diketengahkan ialah program T&T Mini Lab oleh TEGAS yang menyediakan latihan dalam bidang pengaturcaraan, robotik dan pengendalian dron.
Sebagai tanda sokongan terhadap pendidikan teknologi di luar bandar, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM15,000 untuk penubuhan T&T Mini Lab di SMK Belawai.
