Dokumen penting Sarawak di London akan disimpan di bandar raya ini

KUCHING: Kerajaan Sarawak menjalin kerjasama dengan muzium di London bagi menyimpan buku dan dokumen bersejarah Sarawak di bangunan arkib canggih yang sedang dibina di sini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketika ini banyak buku dan dokumen perjanjian terbabit disimpan di sana ketika beliau menghantar rombongan ke Historical Muzium London di United Kingdom sebelum ini.

Katanya, dokumen itu bukan sahaja Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi banyak surat menyurat sebelum Malaysia, koloni dan juga ketika pemerintahan Sultan Brunei.

“Kita ada bekerjasama dengan muzium London untuk kita mendapat hard copy (dokumen dan buku) tersebut untuk dibawa ke Sarawak dan disimpan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak Projek Bangunan Arkib dan Soft Launching 50 Digital Community Centre (DCC) Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, sekiranya tidak ada dokumen dan buku yang asli, pihaknya akan meminta salinan yang diperakui oleh pihak berkuasa muzium di sana bagi disimpan di bangunan itu.

Beliau berkata, ini juga akan membabitkan bahan koleksi Alfred Russel Wallace dan pembantunya Ali dari Sarawak yang ada kaitan teori evolusi Darwin termasuk kupu-kupu Simunjan.

Menurutnya, bangunan arkib dengan ciri hijau yang sedang dibina di sini mempunyai teknologi canggih yang dapat mengawal kelembapan dan suhu supaya semua dokumen dan bahan terbabit dapat disimpan dengan baik.