KUCHING: Kejayaan bakat muda dalam mengetengahkan ciptaan berteknologi tinggi diharap akan memberi impak positif kepada masyarakat terutama memajukan pertanian hijau, teknologi digital dan pendidikan berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, cara pemikiran berinovatif bakat muda itu akan menjadikan mereka sebagai pemimpin berinovasi masa depan di wilayah ini.
“Sarawak menyabut baik idea bernas mereka yang boleh dikomersialkan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar,” katanya pada majlis penutupan Pertandingan dan Pameran Inovasi Borneo Antarabangsa (IBIEC) 2025 d sini.
Royston berkata, tema pertandingan dan pameran IBIEC tahun ini ‘Global Innovation Synergy: Bridging Education, AI, and Sustainable Technologies,’ sejajar dengan impian Sarawak untuk menjadi peneraju dalam ekonomi hijau dan digital.
IBIEC merupakan satu pertunjukan invovasi peringkat tempatan dan wilayah yang akan memacu perkembangan ekonomi dan sosial, tegas beliau.
IBIEC 2025 itu menerima 280 penyertaan dalam Sembilan kategori meliputi kejuruteraan dan ICT, produk hijau dan masyarakat usahawan dengan mengetengahkan bakat dan kreativiti baharu.
“Saya turut tertarik oleh penyertaan belia kita dalam kategori Sainstis Muda yang boleh muncul sebagai pemimpin inovasi pada masa depan di wilayah ini,” katanya.
IBIEC 2025 itu dianjurkan oleh Jabatan Politeknik dan Pendidikan Koleh Komuniti dan Politeknik Negeri Jakarta dengan kerjasama Politeknik Manufaktur Bandung, Politeknik Negeri Ambon, Pendidikan Malaysia Indonesia (EMI), dan Universiti Negeri Makassar.
Bersama menjayakan IBIEC 2025 itu ialah Politeknik dan Kolej Komuniti Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah Mukah, CENTEXS, MRSM Mukah dan Bank Rakyat Mukah.
