SEBUYAU: Pembangunan modal insan merupakan salah satu pemacu utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) dan memerlukan usaha berterusan daripada semua pihak.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, sistem pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah perlu dipertingkatkan agar lebih interaktif dan menarik.
“Atas keperluan tersebut, saya telah menyumbangkan 26 unit televisyen pintar bernilai RM60,814 bagi menyokong medium pembelajaran digital di sekolah-sekolah.
“Saya turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau untuk menjalankan aktiviti dan program sekolah, sumbangan RM9,000 bagi bengkel dan tuisyen, serta insentif kepada 51 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Perkampungan Ilmu Salam 4.9 anjuran SMK Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau, baru-baru ini.
Menurutnya, dengan penyerahan televisyen pintar, kesemua kelas di empat sekolah menengah dalam Parlimen P.201 Batang Lupar iaitu SMK Lingga, SMK Pusa, SMK Beladin dan SMK Sebuyau kini telah lengkap dengan kemudahan tersebut.
