SIMUNJAN: Sarawak mencatatkan nilai eksport kayu dan barangan berasaskan kayu berjumlah RM3.72 bilion pada 2022.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, ini bermakna sektor perkayuan antara penyumbang penting hasil negeri ini.
Katanya, dalam tempoh 50 tahun, nilai eksport kayu dan produk kayu negara telah meningkat 33 kali ganda iaitu RM25.2 bilion pada 2022 berbanding RM749 juta pada 1973.
“Hanya empat produk perkayuan yang dieksport pada 1973 berbanding 24 produk yang dieksport ke seluruh dunia sehingga tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Le Tour De Restoration: Greening Sarawak Campaign (LTDR 2.0) di Hutan Simpan Sabal di sini, hari ini.
Fadillah berkata, bagi memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk keperluan sektor perkayuan negara, Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah melaksanakan Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH).
Bagi memastikan sektor perkayuan terus berkembang maju pula, kerajaan menggubal Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) bagi menggariskan hala tuju pembangunan industri agrikomoditi negara.
Dalam memastikan kesinambungan industri perkayuan lFadillah berkata, Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (NTISP) MTIB 2021-2025 dilancarkan dengan lima teras strategik meliputi Bahan Mentah dan Kemampanan Industri; Teknologi, Inovasi dan Sokongan Industri; Modal Insan dan Produktiviti; Pembangunan Pemasaran dan Perdagangan; dan Peningkatan Penglibatan Bumiputera.
Bagi Sarawak, sejumlah lapan syarikat telah mendapat kelulusan kawasan seluas 30,125 hektar untuk PPLH, katanya.
Menurut Fadillah, keluasan tanaman di Sarawak dijangka menghasilkan 6,025,000 meter kubik kayu dengan antara spesiesnya ialah Getah, Laran, Akasia, Batai dan Paulownia.
Selain itu, beliau menzahirkan tahniah kepada Kerajaan Sarawak kerana terus mengekalkan kedudukan teratas carta dalam pelaksanaan “Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok” seluruh negara sejak dilancarkan 5 Januari 2023.
Katanya, jumlah penanaman keseluruhan sehingga hari ini iaitu 29,296,534 pokok merangkumi penanaman yang dibuat oleh industri ladang hutan.