Penanaman lada guna kaedah IoT bakal diperkenal di Sarawak

SERIAN: Kementerian Perladangan dan Komoditi akan memperkenalkan penanaman lada menggunakan kaedah pertanian pintar menggunakan Internet Pelbagai Benda (IOT) di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, ketika ini kaedah tersebut dalam tempoh percubaan dengan bekerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan beberapa pihak lain di stesen penyelidikan di Semenggo, di sini.

Menurutnya, pekebun kecil menghadapi masalah dan cabaran jika berterusan mengguna pakai kaedah penanaman tradisional.

“Sekarang kita hendak melihat di stesen penyelidikan di Semenggo. Kita mengambil data dan sebagainya,” katanya selepas Program Trek Komoditi Zon Sarawak Sektor Lada di Rumah Warisan Asal Kampung Begu, di Padawan, hari ini.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Industri Makanan, Komiditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, dan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben.

Fadillah berkata, sekiranya berjaya, mereka akan memperkenalkan kaedah yang lebih baik dengan teknologi baharu itu kepada semua pekebun kecil.

“Kita berharap kaedah baharu itu dapat diaplikasikan pada penghujung tahun depan atau 2025,” katanya sambil menambah lada keluaran Sarawak merupakan lada premium.

Pada masa sama, Fadillah berkata, Sarawak merupakan negeri pengeluar lada terbesar di Malaysia dengan keluasan tanaman sebanyak 8,007 hektar atau 98 peratus membabitkan 38,260 pekebun.

“Bahagian Serian merupakan kawasan pengeluar lada kedua terbesar di Sarawak dengan jumlah pekebun berdaftar seramai 7,643 orang melibatkan keluasan 1,486.4 hektar,” tambahnya.

Katanya, ini meliputi kawasan Parlimen Puncak Borneo dan Parlimen Serian.