KEMBOJA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selamat tiba di Kemboja hari ini bagi menghadiri Majlis Perhimpunan Agung Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) Ke- 20 yang bakal berlangsung esok.
Delegasi beliau disertai Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib, Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin serta yang lain.
Ketibaan Premier Sarawak dan rombongan disambut Duta Malaysia ke Kemboja, Shaharudinn Onn.
Perhimpunan itu nanti turut dihadiri Setiausaha Kehormat RISEAP Dato Mohamad Marzuki Mohamad Omar.
Pada sebelah petang, Premier Sarawak akan menghadiri Majlis Makan Malam Sempena Majlis Perhimpunan Agung RISEAP Ke-20 di Sokha Hotels & Resorts.
RISEAP ditubuh pada 11 November 1980 yang pada awalnya dianggotai 17 negara iaitu Malaysia, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Myanmar, Thailand, Filipina, Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia, Papua New Guinea, New Caledonia, Australia, Fiji dan New Zealand.
Pada Majlis Perhimpunan Agung 2022/2023 yang diadakan di Kuching, Abang Johari dipilih sebagai Presiden RISEAP.
Pada masa ini, terdapat 52 ahli organisasi dari 24 negara dan wilayah menjadi anggota RISEAP.
Sementara itu, Abang Johari juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja, Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet.
Premier Sarawak dan rombongan dijangka berangkat pulang ke Kuching pada jam 5 petang esok.
