SARATOK: Pelajar diminta bersedia menghadapi perubahan landskap kerjaya akibat revolusi teknologi di masa depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, kerjaya yang wujud 20 tahun dahulu mungkin kini sudah lenyap manakala pekerjaan yang tidak pernah dibayangkan kini menjadi keperluan.
“Oleh itu, kita perlu bersedia menghadapi perubahan ini dengan pemikiran terbuka dan berorientasikan masa depan,” katanya
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program Hari Kerjaya dan Pendidikan Daerah Saratok 2024 di Dewan SJKC Min Syn di sini.
Mohamad Duri berkata, program ini memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang bidang kerjaya baharu seperti kecerdasan buatan, data analitik, tenaga hijau dan keusahawanan digital serta peluang melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi serta pusat kemahiran dan teknikal.
Sementara itu, seramai 260 pelajar dari enam sekolah menengah di daerah Saratok termasuk 16 agensi serta Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menghadiri program itu bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan kerjaya pendidikan masa kini.
