Adaptasi konsep pertanian moden untuk berjaya

SPAOH: Golongan petani perlu mengubah cara pemikiran lama dengan mengadaptasi konsep pertanian moden untuk berkembang lebih jauh dan berjaya.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, petani khususnya di luar bandar perlu memanfaatkan teknologi baharu seperti Internet of Thing (IoT), konsep pertanian moden seperti hidroponik dan fertigasi, aplikasi AI (kecerdasan buatan), benih hibrid dan pelbagai lagi.

Ujarnya, konsep pertanian moden tidak bergantung kepada penggunaan buruh kasar seperti sebelum ini dengan ada penggunaan teknologi baharu yang jauh lebih memudahkan.

“Kita juga tidak bimbang tentang kesesuaian tanah kerana kita boleh membina rumah hijau dan sebagainya.

“Kita boleh memudahkannya dengan menggunakan teknologi baharu yang berkaitan yang kini digunakan di negara pertanian maju seperti Taiwan, New Zealand atau Australia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan penutupan Pesta Agro Spaoh di sini.

Turut hadir Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Maclaine Ben @ Martin Ben, Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah Sarawak) Tan Sri William Mawan Ikom, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu.

Sementara itu, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu memuji peranan dimainkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak dalam membantu masyarakat luar bandar keluar dari kepompong kemiskinan selama 100 tahun penubuhannya.

Katanya, semua perubahan positif ini bermula dengan penanaman tanaman komersial seperti koko, getah, lada dan kelapa sawit.

“Mereka telah membawa peningkatan positif yang luar biasa kepada kehidupan rakyat. Mereka telah membantu petani memperoleh pendapatan yang lebih dan lebih tinggi,” tambah Uggah.

Pesta itu bermula dari 12 hingga 14 Julai 2024 di sekitar Pekan Spaoh.