KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang membangunkan Pelan Hala Tuju Hidrogen Sarawak yang berpotensi menjadikan negeri ini perintis sektor ekonomi hidrogen.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelan tindakan komprehensif itu dibangunkan melalui Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESTy).
“Melalui pelan tindakan komprehensif ini, kita berupaya untuk memanfaatkan potensi besar tenaga hidrogen dan berpotensi menjadikan Sarawak sebagai pioneer dalam sektor ekonomi hidrogen
di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Festival Maal Hijrah 1446H/2024 di pekarangan Masjid Jamek di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Abang Johari berkata, pelan terbabit adalah yang terbaharu kerana Kerajaan Sarawak turut mengambil semangat penghijrahan melalui inisiatif eksplorasi pelbagai bidang baharu.
“Bidang baharu terutamanya melibatkan teknologi, biodiversiti dan kelestarian, yang berpotensi memberi pulangan yang baik kepada Sarawak,”tambahnya.
Selain itu, katanya mereka turut mempertimbangkan untuk memanfaatkan penggunaan teknologi dalam sektor keterjaminan makanan seperti pengeluaran padi.
