Agenda keterangkuman OKU diperkasa

SIBU: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) terus memperkukuhkan agenda keterangkuman Orang Kelainan Upaya (OKU) di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Razi Sitam, berkata melalui peningkatan akses terhadap pendidikan, peluang pekerjaan, rawatan kesihatan serta sistem perundangan.

Katanya, usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan setiap warganegara, termasuk komuniti pekak, mendapat ruang sama rata dalam pembangunan negara.

“Sidang kemuncak ini bukan sekadar persidangan, tetapi pencapaian penting yang memberi mesej jelas kepada Malaysia dan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Pekak Malaysia Pertama di Hotel Kingwood, Sibu, hari ini.

Tema sidang kemuncak tahun ini, “Reclaiming Deaf Spaces: Language, Identity, and Cultural Power”.

Program itu anjuran Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia (DAWN) dengan kerjasama Persatuan Perkhidmatan Komuniti Pekak Sarawak (SDCSA), menghimpunkan lebih 350 peserta tempatan dan antarabangsa.