Akses pendidikan tinggi kepada golongan bekerja diperluas

KUCHING: Usaha mengukuhkan pembangunan modal insan negeri ini diteruskan oleh UCSI University Kampus Sarawak menerusi pelancaran Centre for Pre-University & Continuing Education (CPUCE) serta laluan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL).

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi khususnya golongan bekerja melalui pengiktirafan pengalaman industri.

Tambahnya, pelaksanaan inisiatif tersebut juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh pembangunan bakat dan modal insan sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi mampan.

Jelasnya lagi, usaha berkenaan amat penting ketika Sarawak bergerak ke arah ekonomi berasaskan inovasi, teknologi dan nilai tinggi yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran serta berdaya saing.

APEL membuka laluan baharu kepada golongan pekerja berkemahiran yang memiliki pengalaman luas tetapi tidak mempunyai kelayakan akademik formal untuk melanjutkan pengajian, katanya.

“Pengiktirafan terhadap pembelajaran berasaskan pengalaman membolehkan individu menukar pengalaman kerja kepada kelayakan akademik sekali gus meningkatkan peluang kemajuan kerjaya.

“Melalui APEL, pengalaman kerja boleh diterjemahkan kepada pengiktirafan akademik, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada golongan pekerja untuk meningkatkan kelayakan dan mobiliti kerjaya mereka,” katanya semasa menyempurnakan pelancaran majlis tersebut hari ini.

Roland Sagah menambah, inisiatif tersebut bertujuan memperluas akses pendidikan tinggi kepada golongan bekerja melalui pengiktirafan pengalaman industri.