AKYBMS pastikan projek Wisma Melayu Sarawak ikut spesifikasi

KUCHING: Lembaga Pemegang Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) mengadakan lawatan khas bagi meninjau perkembangan projek Wisma Melayu Sarawak, di sini, baru-baru ini

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi AKYBMS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai lawatan itu bertujuan mendapatkan kemaskini mengenai kemajuan kerja-kerja pembinaan.

Ini juga memastikan setiap komponen pembangunan dilaksanakan mengikut jadual pelaksanaan dan spesifikasi ditetapkan. Ia juga sebagai memenuhi matlamat mercu tanda penting melambangkan warisan, identiti dan jati diri masyarakat Melayu di Sarawak.

Dalam lawatan itu, beliau diberikan taklimat ringkas oleh pengurusan projek berkenaan status kemajuan semasa, skop kerja sedang dilaksanakan serta perancangan kerja bagi fasa akhir pembinaan.

Awang Tengah turut meneliti beberapa komponen utama pembangunan bagi memastikan kemudahan disediakan kelak mampu memenuhi keperluan pelbagai aktiviti sosial, kebudayaan, pendidikan serta program kemasyarakatan melibatkan masyarakat Melayu Sarawak.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pengurus Besar AKYBMS; Datu Dr. Sanib Said.