Bazar Aidilfitri Satok tumpuan pengunjung

KUCHING: Kemeriahan Bazar Aidilfitri Satok yang mula beroperasi sejak minggu lalu menarik kehadiran pengunjung yang mencari pelbagai barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Bazar anjuran Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad menyediakan 200 ruang niaga dengan menjual pelbagai barangan Raya seperti baju Melayu, baju kurung, perhiasan diri, kek lapis, biskut dan sebagainya.

Malam tadi, kemeriahan Bazar Aidilfitri diserikan dengan perasmiannya dilakukan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki dan Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman hadir sama.

Malah, penganjuran bazar berkenaan membuka peluang kepada peniaga kecil dan penjaja mikro menjana pendapatan melalui platform perniagaan yang lebih tersusun serta kondusif.

Program yang dianjurkan saban tahun sejak 2010 itu juga dilihat membantu merancakkan ekonomi tempatan, khususnya di kawasan Satok.

Turut diadakan simbolik penyalaan lampu hiasan di Jejantas Satok bagi menambahkan lagi kemeriahan suasana Ramadan.

Pemasangan lampu hiasan itu melibatkan 77 unit arca lampu RGB serta 62 unit lampu wallwasher yang mampu menghasilkan pencahayaan dinamik mengikut tema perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Hari Kebangsaan sekali gus menyerikan landskap kawasan Satok.