MIRI: Seramai 1,086 penerima bantuan kebajikan beragama Islam di Bahagian Miri layak menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sempena program Sejambak Kasih Aidilfitri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata program tersebut bagi membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan, khususnya penerima bantuan kebajikan sebagai persiapan meraikan Aidilfitri.
Menurutnya, inisiatif tersebut juga bertujuan menceriakan penerima bantuan serta membantu meningkatkan kualiti hidup keluarga yang kurang berkemampuan.
“Pada majlis yang diadakan hari ini, seramai 150 penerima dijemput hadir untuk menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 seorang.
“Selain itu, 100 penerima lain akan menerima sumbangan yang sama pada Majlis Sejambak Kasih di Dewan Masyarakat Bekenu pada 14 Mac ini, manakala 836 penerima yang tidak dapat hadir akan menerima sumbangan tersebut melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri Bahagian Miri 2026 yang diadakan di perkarangan Hotel Dynasty, di sini, semalam.
Seramai 15,454 penerima bantuan kebajikan di seluruh Sarawak akan menerima sumbangan Aidilfitri tahun ini melibatkan jumlah keseluruhan RM1,545,400.
Dalam majlis sama, pihak hotel berkenaan turut menyumbangkan hamper barangan makanan bernilai RM150 kepada setiap penerima yang hadir, menjadikan jumlah sumbangan keseluruhan sebanyak RM22,500.
