KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Majlis Sungkei Yayasan Sarawak 2026 di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, malam ini.
Kehadiran kira-kira 390 kakitangan Kumpulan Yayasan Sarawak dan Pejabat Premier Sarawak menambahkan seri majlis tersebut.
Pada majlis berkenaan, Premier selaku Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Sarawak turut menyaksikan simbolik penyerahan zakat perniagaan daripada tiga anak syarikat Yayasan Sarawak kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Zakat perniagaan tersebut sumbangan daripada Petronesa Sdn Bhd sebanyak RM412,390 dan Sanjung Etika Sdn Bhd sebanyak RM12,419.72 yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Manakala, Pometia Sdn Bhd menyumbang zakat perniagaan sebanyak RM10,224 yang diserahkan oleh Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin.
Simbolik penyerahan zakat tersebut diterima oleh Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Sibli Abang Mohd Nailie.
Dalam majlis sama, seramai 20 pelajar daripada keseluruhan 62 pelajar jemputan daripada Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) dan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) turut menerima simbolik sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Premier Sarawak bersama anakandanya, Dayang Norjihan.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan berbuka puasa kemudian Solat Fardhu Maghrib, Isyak dan sunat terawih.
