Pilihan raya secara serentak perlukan kajian mendalam

DEBAK: Keputusan untuk mengadakan pilihan raya secara serentak melibatkan beberapa negeri wajar diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti-parti utama di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, cadangan tersebut memerlukan penelitian mendalam sebelum dilaksanakan.

“Bagi saya, perkara ini terserah kepada kepimpinan tertinggi parti. Ada juga pandangan yang menyatakan pilihan raya serentak mungkin melibatkan kos yang lebih tinggi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun apa jua keputusan harus dibuat dengan mengambil kira kepentingan semua pihak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan untuk mengadakan pilihan raya secara serentak bagi beberapa negeri seperti Johor, Melaka dan Sarawak semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Debak semalam.

Majlis tersebut anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Saribas dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Masjid Kampung Serembang.

Sementara itu Mohammad Razi yang juga ADUN Saribas memuji usaha pelbagai pihak di kawasan itu dalam menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan bagi menimarahkan sambutan Ramadan di situ.

“Seperti biasa saban tahun, setiap kali bulan Ramadan, kawasan Saribas sangat aktif dengan pelbagai program berkaitan ibadah puasa.

“Masjid dan surau juga sentiasa dipenuhi dengan aktiviti keagamaan seperti solat Tarawih dan program berbuka puasa bersama,” katanya.