Dr Maszlee puji pembangunan pendidikan Sarawak

KUCHING: Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memuji komitmen dan kepimpinan Kerajaan Sarawak diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ia berhubung memperkasa sistem pendidikan negeri itu menerusi peruntukan RM1 bilion bagi pembaikpulihan sekolah daif serta pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di semua sekolah negeri Sarawak.

Menurut Dr Maszlee, beliau berpeluang bertemu semula dengan Premier Sarawak, semalam selepas kali terakhir pertemuan mereka ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan sebelum Covid-19.

Pertemuan tersebut, katanya, memperlihatkan kemajuan pesat pendidikan Sarawak yang kini dilihat selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Saya amat gembira melihat perkembangan terkini pendidikan di Sarawak. Nampak gayanya Sarawak memecut untuk mencapai objektif PCDS 2030,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Dr Maszlee turut mengimbau dua pencapaian besar hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Sarawak ketika beliau menerajui kementerian itu.

Pertama, projek pembaikpulihan sekolah-sekolah daif di Sarawak yang direalisasikan melalui pendahuluan RM1 bilion oleh Kerajaan Sarawak.

Kedua, pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di semua sekolah negeri Sarawak bermula tahun 2020.

“Kedua-dua idea ini merupakan cadangan daripada Premier Sarawak sendiri dan telah kami setujui bersama sebelum dibawa untuk kelulusan kabinet,” jelas beliau.

Tambahnya, mendapatkan kelulusan bagi kedua-dua inisiatif besar itu bukanlah mudah kerana ia memerlukan persetujuan kabinet, termasuk Menteri Kewangan dan Perdana Menteri pada waktu tersebut. Namun, usaha berkenaan akhirnya berjaya direalisasikan.

Dr Maszlee turut menzahirkan penghargaan kepada beberapa tokoh penting yang memainkan peranan besar dalam menjayakan pelaksanaan inisiatif tersebut, antaranya Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Menteri Pendidikan Sarawak ketika itu.

Selain itu Datuk Dr Annuar Rapaee yang terlibat sejak pertemuan awal bersama Premier Sarawak dan kini memantau pelaksanaan DLP di sekolah rendah; serta Datu Dr Azhar Ahmad iaitu bekas Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak yang memastikan kelancaran pelaksanaan kedua-dua dasar berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, keputusan Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UPDLP) bagi kohort pertama baru-baru ini turut menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

“Tahniah kepada kerajaan negeri dan seluruh rakyat Sarawak atas kejayaan ini,” kata Dr Maszlee.

Usaha berterusan Sarawak dalam memperkukuh pendidikan dilihat sebagai model kerjasama berkesan antara kerajaan persekutuan dan negeri demi masa depan generasi muda negara.