KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2025 selepas menerima sokongan sebulat suara daripada 16 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mengumumkan kelulusan RUU berkenaan semasa Persidangan DUN Sarawak Ke-19 selepas dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dalam usulnya, Awang Tengah berkata pindaan RUU berkenaan bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkemaskan proses operasi, memperkukuh kuasa penguatkuasaan, memperhalusi dasar perancangan, dan mengintegrasikan inovasi digital dalam pengurusan serta pentadbiran tanah di negeri ini.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II itu menegaskan, pindaan ini melengkapi Sarawak dengan keupayaan untuk menyesuaikan diri bagi menangani cabaran baharu dalam tadbir urus tanah dengan berkesan.
“Sambil menyokong pembangunan mampan dan sejajar dengan aspirasi ekonomi dan sosial Sarawak yang lebih luas.
“Dalam era pertumbuhan bandar yang pesat, kemajuan teknologi, dan peningkatan jangkaan masyarakat, RUU ini merupakan langkah penting ke arah meletakkan asas bagi masa depan pengurusan dan pentadbiran tanah kita.
“Ia akan mewujudkan satu sistem yang lebih responsif, telus, dan berorientasikan perkhidmatan dalam satu sistem yang benar-benar memenuhi keperluan pemilik tanah, pelabur, penjawat awam Sarawak, komuniti tempatan, serta rakyat keseluruhannya,” ujar beliau.
Tambah beliau, kelulusan RUU ini secara langsung akan memperkemas operasi, mempermudah prosedur, dan menyeragamkan proses selaras dengan inisiatif penyampaian perkhidmatan digital yang menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.
Dalam pindaan ini, sebanyak tiga seksyen baharu dibentangkan di mana Seksyen 32AA yang memberikan kuasa undang-undang kepada Kerajaan Sarawak untuk mengawal pengangkutan bahan batuan ke luar sempadan Sarawak.
Seksyen 171A pula menyediakan landasan perundangan untuk pendaftaran rasmi Tanah Wakaf Agama dalam Daftar Tanah.
Manakala, Seksyen 234A yang baharu diwujudkan menetapkan keperluan penyerahan pelan utiliti sebenar selepas sesuatu projek pembangunan disiapkan.
