Empat tokoh media terima Anugerah Premier Sarawak, pengiktirafan tertinggi KJA

KUCHING: Keupayaan wartawan tempatan Sarawak dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan bertanggungjawab terus menjadi sandaran utama masyarakat, khususnya dalam suasana maklumat tanpa sempadan yang semakin mencabar ketika ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan pesat landskap media menuntut pengamal media untuk lebih berhati-hati serta berpegang teguh kepada prinsip kebenaran bagi memastikan berita yang disampaikan kekal berintegriti.

“Penekanan terhadap ketepatan fakta sebagaimana yang sering ditekankan oleh kepimpinan persatuan wartawan tempatan mencerminkan kematangan kewartawanan di negeri ini serta wajar diberi pengiktirafan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Abang Johari turut memuji keupayaan wartawan Sarawak dalam menganalisis isu dan menyampaikan laporan yang diyakini masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut menyentuh perubahan corak penyampaian maklumat apabila pelbagai platform baharu seperti audio siar dan saluran peribadi muncul, sekali gus mewujudkan persaingan serta risiko kekeliruan dalam kalangan orang awam.

Beliau menambah, kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan dan kemunculan pempengaruh yang mendakwa diri sebagai pakar dalam pelbagai bidang menuntut wartawan profesional untuk memiliki tahap pemikiran kritikal dan analisis yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan memperkukuh profesionalisme kewartawanan melalui latihan berterusan.

“Disebabkan itu, Kerajaan Sarawak bersedia menaja wartawan tempatan mengikuti program latihan eksekutif bagi melahirkan pengamal media yang berkeupayaan menilai maklumat, merumus penyelesaian serta memacu hala tuju kewartawanan masa depan negeri ini,” katanya.

Sementara itu Presiden KDJA, Ronnie Teo Teck Wei berkata persatuan berkenaan menyifatkan insentif untuk media sebanyak RM700 sebagai pengiktirafan terhadap sifat kerja mereka yang mencabar.

Sementara itu, empat tokoh media daripada organisasi berita berbeza telah dipilih menerima Anugerah Premier Sarawak, pengiktirafan tertinggi dalam KJA.

Bagi kategori Bahasa Malaysia, anugerah itu dimenangi oleh Zarina Abdullah dari Suara Sarawak, manakala kategori Bahasa Cina diraih Tan Siok Thin dari See Hua Daily News.

Kemenangan bagi kategori Bahasa Inggeris pula menjadi milik Jenifer Laeng dari The Borneo Post, sementara kategori penyiaran disandang oleh Monica Gerry dari RTM Sarawak.

Dalam pada itu, kategori Anugerah Kewartawanan Ekonomi Digital Premier Sarawak menampilkan kejayaan menyeluruh merangkumi pelbagai bahasa dan medium, dengan pengiktirafan diberikan kepada wakil media daripada TVS, Suara Sarawak, Sin Chew Daily, The Borneo Post serta RTM Sarawak.

Anugerah Tokoh Wartawan 2025 dianugerahkan kepada K.C. Jong atau Yao Yuan, sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi dan sumbangan cemerlang beliau melebihi enam dekad dalam bidang kewartawanan, penulisan sejarah serta perkhidmatan kepada masyarakat.

Di majlis itu, menyaksikan Tokoh Wartawan 2025 dianugerahkan kepada wartawan veteran, K.C. Jong dengan nama pena Yao Yuan dan penghormatan ini meraikan kerjaya yang luar biasa yang menjangkau lebih enam dekad.