BINTULU: Kuarters Guna Sama Persekutuan di bahagian ini yang siap dibina diharap diagihkan secara adil kepada penjawat awam Persekutuan yang layak di sini.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata kemudahan itu amat diperlukan memandangkan kos sara hidup di sini tinggi, termasuk sewa rumah yang semakin meningkat.
“Justeru, saya berharap kuarters ini dapat digunakan sepenuhnya dan memberi manfaat kepada mereka yang layak mendudukinya,” katanya.
Beliau berkata selepas menyaksikan majlis penyerahan Kuarters Guna Sama Persekutuan Bintulu antara Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya(JKR) Malaysia, Datuk Ir. Jasmi Wahab dengan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Abd Shukor Mahmood dan Pengarah Saratech Sdn Bhd, Wilfred Chai Hung Han, di sini, semalam.
Projek pembinaan Kuarters Gunasama Persekutuan Bintulu bernilai RM6.45 juta itu dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2(PPK2) JKR Malaysia pada 21 Oktober 2022 dan siap sepenuhnya 2 September lalu.
Pembinaannya dilaksanakan secara reka dan bina oleh kontraktor yang dilantik iaitu Saratech Sdn. Bhd merangkumi kuaters Kelas F sebanyak 70 unit, kuarter Kelas G(20 unit), bilik M&E, pondok pengawal, loji rawatan kumbahan,taman permainan, sistem retilkulasi, tempat letak kereta dan ‘built-in furniture’.
