Gelanggang bola keranjang SMK Lingga siap dinaik taraf

SIMANGGANG: Projek menaik taraf Gelanggang Bola Keranjang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lingga sudah siap dan digunakan mulai 20 April lalu.

Projek membabitkan peruntukan sebanyak RM200,000 diluluskan di bawah Peruntukan Khas Timbalan Perdana Menteri 2024 itu adalah kesinambungan Projek Mesra Rakyat Parlimen P.201 Batang Lupar 2021.

Gelanggang berbumbung ini bukan sahaja sebagai pusat aktiviti sukan untuk pelajar, malah turut dimanfaatkan sebagai tempat perhimpunan serta pelbagai program sekolah.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli turut mengumumkan tambahan peruntukan di bawah Projek Infrastruktur Madani (PRISMA) SDO Sarawak dengan siling RM100,000 bagi melengkapkan keperluan kemudahan elektrik di tapak gelanggang tersebut.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap pembangunan fasiliti pendidikan luar bandar, agar anak-anak kita mendapat persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkualiti,” katanya ketika menyempunakan majlis perasmian gelanggang itu.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Wan Fadillah Wan Ahmad; Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin serta Pengetua SMK Lingga, Mesra Beji.