KUCHING: Proses semakan Bantuan Kewangan Khas (BKK) Sarawak kini mengambil masa lebih lama daripada jangkaan berikutan jumlah permohonan yang mencecah 42,000 setakat ini.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, setiap permohonan perlu disemak secara teliti bagi memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak menerima bantuan.
“Kita mahu elak dua perkara — bantuan jatuh ke tangan yang tidak sepatutnya, dan pelajar layak pula terlepas pandang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan dan Penyampaian Bantuan Pendidikan TCS–Yayasan Taqwa di sini, pagi tadi.
Beliau menjelaskan bahawa kesemua permohonan perlu disahkan melalui dokumen rasmi universiti masing-masing, dan ini menjadi antara sebab utama kelewatan.
Tambahnya lagi, ini merupakan pelaksanaan pertama skim berkenaan, justeru pihak kementerian masih menyesuaikan proses dengan keperluan teknikal.
Tarikh akhir permohonan turut dilanjutkan daripada 1 Jun kepada 30 Jun 2025 bagi memberi lebih masa kepada pelajar yang masih belum mengemukakan permohonan.
