KUCHING: Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sangat prihatin terhadap usahawan Bumiputera di negeri ini telah banyak menghulurkan bantuan.
Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Datuk Abang Helmi Ikhwan berkata, bantuan itu bertujuan memperkasakan usahawan Bumiputera.
“Bantuan itu mencakupi sumbangan kewangan bagi melaksanakan program latihan kepada usahawan tempatan,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Abang Helmi berkata, kunjungan delegasi DUBS itu bagi memberi taklimat mengenai kemajuan mengendalikan projek-projek serta jentera yang ditaja oleh Kerajaan Sarawak.
Turut dikongsikan beliau kepada Premier Sarawak mengenai kemajuan bangunan baharu DUBS di Jalan Ong Tiang Swee.
Hadir sama Timbalan Presiden DUBS, Cr Halim Mohamad, Naib-naib Presiden Roselyn Long Lah dan Dr Sulaiman Sahari serta ahli-ahli majlis eksekutif tertinggi DUBS.
