BINTANGOR: Bakat pemain bola sepak perlu digilap seawal usia muda bagi melahirkan pemain yang boleh mewakili Sarawak hingga ke peringkat kebangsaan.
Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab berkata, golongan pelajar sangat sesuai untuk dilatih bagi mengukuhkan asas permainan mereka bagi melahirkan pemain yang berkaliber.
Katanya, kejohanan seperti ini juga diadakan bagi melahirkan semangat berpasukan dan kerjasama antara pelajar di samping memupuk persahabatan antara pemain.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kejohanan Bolasepak Pembangunan (5 Sebelah) Bawah 11 Tahun, Piala Ir Yusuf Abd Wahab anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong di Kompleks Sukan Meradong hari ini.
Beliau berterima kasih kepada PPD Meradong yang berjaya mengelolakan Kejohanan ini buat kali kedua dan turut memberitahu ianya akan diteruskan pada tahun hadapan berikutan sambutan yang amat baik.
Sebanyak 26 pasukan mewakili enam PPD di Zon Tengah bersaing bagi merebut Piala Kejohanan selama dua hari.
Kejohanan kali ini menarik minat beberapa pasukan dari Sibu, Kanowit, Tanjung Manis, Sarikei dan Meradong.
